Seorang kawan terkejut bila saya tunjukkan sepuluh buah novel penyiasat ekstrovert yang telah terbit. Katanya, kau sungguh profilik, bukan mudah hendak menerbitkan sepuluh novel bersiri. Saya akui, memang bukan mudah. Banyak perkara perlu dipertimbangkan untuk menulis genre kanak-kanak. Malah, ramai penulis yang sudah mapan pun selalu menghadapi masalah untuk menulis dalam genre ini.
Menulis penyiasat ekstrovert – siri yang terbaru – yang masih belum boleh diwar-warkan judulnya – memerlukan tumpuan yang lebih mendalam. Pembaca penyiasat ekstrovert bukan anak-anak yang biasa-biasa. Ramai yang bijak dan tahu mempersoalkan fakta. Fakta kenalah tepat. Untuk itu, penyelidikan dan melawat lapangan perlu dibuat. Mungkin sebab itulah penulisan novel ini sering tertangguh-tangguh. Mujurlah, saya berjaya menyiapkannya setelah beberapa kali diberi amaran oleh editor. Jadi kita tunggu saja kemunculannya bulan Disember ini.
